JOHOR BAHRU, 11 Dis 2025 - DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) yang kini siap sepenuhnya di Stesen Keretapi Kempas Baru.
Turut hadir YAB Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Kementeri Pengangkutan YBhg. Dato' Seri Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC YBhg. Dato' Azhar Ahmad.
Dengan siapnya jajaran ini dari Padang Besar hingga Johor Bahru, sistem rel negara kini memasuki era transformasi yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi kepada rakyat. Pelaksanaan projek ini membuka lebih banyak pilihan mobiliti awam yang selesa, cekap dan selamat memberikan alternatif perjalanan jarak jauh yang lebih baik kepada rakyat.
Projek nasional sepanjang 192KM ini menjadi pemangkin mobiliti dan ekonomi selatan — menjadikan perjalanan yang lebih pantas, moden, selamat dan mampan kepada rakyat. Perkhidmatan ETS 3 bagi perjalanan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral akan bermula 12 Dis 2025 menjadikan perjalanan antara kedua-dua bandar lebih cepat, selesa dan lancar.
Tahniah kepada Kementerian Pengangkutan dan semua agensi yang terlibat dalam menjayakan projek mega ini iaitu APAD, KTMB dan SIPP-YTL atas usaha merealisasikan projek nasional berimpak tinggi.