Langkau ke kandungan utama

Thailand cadang buka semula laluan rel Sungai Golok-Rantau Panjang

NARATHIWAT, Thailand: Kerajaan Thailand sedia mengemukakan cadangan bagi membuka semula laluan kereta api Sungai Golok–Rantau Panjang sebagai usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia serta negara berkenaan.

Jurutera Penyelia, Bahagian Penambahbaikan Landasan Zon 1 SRT, Pattaphong Boonkaew berkata, langkah itu seiring de­ngan rancangan SRT untuk membina landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok sepanjang 215 kilometer. 

Katanya, pembinaan landasan kedua dari Hat Yai ke Sungai Golok itu dianggarkan menelan belanja sehingga 44.9 bilion baht (RM5.8 bilion) dan dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

"SRT mendapat tahu bahawa Kerajaan Malaysia menerusi Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membaik pulih dan membuka semula landasan kereta api di Rantau Panjang yang bersempadan dengan Sungai Golok, Thailand.

"Kami akan berbincang dengan KTMB untuk membuka semula landasan merentasi Sungai Golok bagi membolehkan perkhidmatan kereta api terus dari Malaysia ke Thailand. Landasan dahulu ditutup puluhan tahun lepas." katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

 Patthapong berkata,  ketika ini landasan antarabangsa yang bersambung antara Malaysia ke Thailand iaitu di Padang Besar melibatkan Perlis-Hat Yai-Bangkok.

"Jadi SRT akan mencadangkan landasan kereta api persahabatan Malaysia dan Thailand di Sungai Golok dibuka semula bagi perkhidmatan Rantau Panjang-Sungai Golok-Hat Yai.

"Pembinaan landasan berkembar itu bertujuan mengubah sistem pengangkutan dan menghubungkan ekonomi Thailand-Malaysia, khususnya dari segi kemasukan pelancong," katanya.

Patthapong berkata, pada masa sama, projek itu bertujuan menghubungkan empat wilayah sempadan selatan iaitu Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat  dengan Malaysia merangkumi 13 daerah dan 53 mukim, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi serta pelancongan.

"Projek ini adalah bahagian penting yang menghubungkan keretapi landasan berkembar selatan sedia ada iaitu dari Surat Thani ke Hat Yai dan sistem kereta api Malaysia," katanya.

 
Compiled from: