Langkau ke kandungan utama

Profil Penubuhan

Penubuhan Railway Assets Holding Sdn. Bhd. (RAHSB)

Pada 6 April 2023, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) secara rasmi telah menubuhkan anak syarikat milik penuhnya, Railway Assets Holding Sdn. Bhd. (RAHSB).

Penubuhan RAHSB bertujuan mewujudkan entiti berasingan bagi melaksanakan aktiviti perniagaan melalui kerjasama strategik dan perkongsian keuntungan, selaras dengan mandat RAC untuk memanfaatkan aset rel negara secara mampan dan berkesan.

Penubuhan ini telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah RAC melalui Mesyuarat Bil. 3 Tahun 2022 pada 30 Jun 2022, dan seterusnya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 30 Januari 2023.

Sebagai anak syarikat milik penuh RAC, RAHSB beroperasi di bawah panduan strategik RAC, menggunakan kepakaran dan sumber sedia ada untuk mencapai matlamat perniagaan yang mampan dan memberi nilai tambah kepada industri rel negara.

Integrity

Tujuan Penubuhan RAHSB

Selaras dengan Seksyen 89(8) Akta Keretapi 1991 (Akta 463), RAC bertanggungjawab memastikan pelaksanaan fungsi dan peranannya dilakukan secara berkesan, telus dan berintegriti, demi manfaat industri kereta api dan masyarakat.

Memandangkan RAC merupakan badan berkanun persekutuan yang terikat dengan peraturan dan sumber terhad, penubuhan RAHSB dilihat sebagai kaedah yang berkesan untuk memperluas pelaksanaan mandat RAC di bawah peruntukan Akta 463.

RAHSB berperanan sebagai entiti perundangan berasingan (separate legal entity) bagi menjalankan operasi dan aktiviti perniagaan yang berkaitan dengan aset rel. Struktur ini membolehkan RAC dilindungi daripada tuntutan liabiliti, di samping memastikan tadbir urus korporat yang bebas dan profesional.

Peranan dan Mandat RAHSB

RAHSB berperanan penting dalam merealisasikan visi RAC untuk menjadi Peneraju Transformasi Pengurusan Aset Kereta Api yang Mampan Menjelang 2030.

Mandat RAHSB merangkumi pengambilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpengalaman, sejajar dengan komitmen RAC untuk mengoptimumkan penggunaan aset kereta api agar menjadi harta yang bernilai serta mampu menjana pendapatan berterusan kepada Kerajaan, demi kemajuan industri rel negara.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, RAHSB bekerjasama rapat dengan RAC bagi menyelaraskan strategi pengambilan bakat, mengenal pasti keperluan kemahiran utama, serta menarik individu yang berpotensi untuk memacu pembangunan sektor perkeretaapian negara.

Carta Organisasi RAH