KUALA LUMPUR, 8 Dis 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif RAC YBhg. Dato’ Azhar Ahmad mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, YBhg. Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim di pejabatnya di sini.
Sebagai pemilik dan pengurus aset rel, RAC kini turut terlibat dalam menyokong pelaksanaan 21 lokasi ‘food bank’ hidupan liar yang sedang dibangunkan di sepanjang laluan migrasi gajah di Kluang, Kota Tinggi dan Mersing — satu usaha kolaboratif antara PERHILITAN dan Kerajaan Negeri Johor.
Inisiatif ini melibatkan penyediaan kawasan tanaman semula jadi seperti rumput Napier dan pokok pisang di kawasan berdekatan jajaran rel bagi memastikan gajah liar kekal di habitat mereka. Langkah ini turut membantu mengurangkan risiko pencerobohan ke kawasan penduduk, ladang serta zon keselamatan rel.
Pendekatan ini lebih mampan dan terbukti menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti Johor, di samping memastikan operasi rel kekal selamat dan lancar.